JUN 2023

Sarawak Sasarkan Pengangkutan Awam Guna EV Menjelang 2030


KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan hampir semua pengangkutan awam di negeri ini akan menggunakan sumber tenaga hidrogen atau elektrik (EV) menjelang tahun 2030.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kenderaan ini dikuasakan oleh sumber tenaga daripada sumber boleh diperbaharui seperti solar, angin dan hidroelektrik melalui kerjasama awam-swasta.

“Kami juga bekerjasama dengan Korea dan Jepun untuk mencipta sumber tenaga hidrogen, ia bebas karbon dan Sarawak akan mensasarkan pengangkutan awam di bandar raya Kuching bebas karbon dan sepenuhnya menggunakan tenaga hidrogen, elektrik menjelang 2030.

“Ia merupakan langkah awal untuk menjadikan Kuching sekali gus menjadi bandar pintar dengan penggunaan komunikasi digital,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam ‘Shape The World Summit 2023’ di sini, malam tadi.

Penganjuran persidangan ‘Shape The World’ untuk membincangkan cabaran yang dihadapi dunia termasuk berdepan perubahan iklim dengan penyertaan lebih kurang 300 peserta dan delegasi.

GAMBAR: JABATAN PREMIER SARAWAK

Sumber dari : Jiwa Bakti